Peniaga didakwa cuba bunuh isteri dengan tolak ke gaung

KUALA KANGSAR — Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya dengan menolak mangsa jatuh gaung, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Azzuan Ahmad, 39, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh Nor Diyanah Ahmad, 32, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di tepi jalan berdekatan KM31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, antara jam 4 pagi hingga 5 pagi, 27 Julai lalu.

Oleh yang demikian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohd Azzuan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa sama di dalam sebuah kereta ketika melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menuju ke arah Kuala Kangsar, di sini, pada waktu malam, 26 Julai lalu.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

“Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan ikat jamin, saya mencadangkan RM20,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan cubaan membunuh, serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan lapor diri di balai polis sebulan sekali.

“Manakala bagi pertuduhan menakutkan mangsa secara jenayah, saya cadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan sama,” katanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh perlu menanggung lima anaknya yang masih bersekolah, selain tertuduh berjanji tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua-dua kes dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 September depan untuk lantikan peguam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood dilaporkan berkata, mangsa merangkak naik ke arah jalan raya dan dijumpai oleh orang awam pada 2 petang, 27 Julai dengan kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan.

Mangsa kemudian dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

BH ONLINE