NEW DELHI, 10 Mei – Letupan kuat kedengaran di Kashmir yang dikuasai India pada petang Sabtu, hanya tiga jam selepas India dan Pakistan bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dan menamatkan tindakan ketenteraan, kata pegawai.
Letupan besar itu kedengaran di bandar Srinagar, ibu kota musim panas Kashmir yang dikuasai India.
Menurut Ketua Menteri wilayah itu Omar Abdullah, letupan kedengaran di seluruh Srinagar. “Ini bukan gencatan senjata. Unit pertahanan udara di tengah-tengah Srinagar baru sahaja dibuka.”
Dilaporkan di bahagian Akhnoor, Rajouri, dan R S Pura, kedua-dua pihak berbalas bedilan dan artileri berat. Berbalas tembakan juga dilaporkan di sepanjang Garis Kawalan (LoC) di bahagian Palanwalla di Jammu.
Sejurus selepas letupan, pemadaman (letrik) telah dikuatkuasakan.
Pada awal hari itu, Pakistan dan India mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju dengan gencatan senjata.
Pengumuman itu dibuat selepas empat hari serangan tentera antara satu sama lain.
Pada Rabu, India melancarkan serangan udara ke atas sasaran Pakistan untuk membalas dendam pembunuhan 26 orang oleh lelaki bersenjata bulan lalu di bandar Pahalgam, kira-kira 89 km timur Srinagar, ibu kota musim panas Kashmir yang dikuasai India.
India menyalahkan Pakistan kerana berada di sebalik insiden itu, tuduhan yang dinafikan oleh Pakistan.
Keadaan di sepanjang LoC yang membahagikan Kashmir menjadi tegang apabila tentera India dan Pakistan yang ditempatkan di kedua-dua belah garisan gencatan senjata terlibat dalam berbalas tembakan dan artileri.
XINHUA