Warga emas rentung terperangkap dalam kebakaran di Tanah Merah

TANAH MERAH — Seorang lelaki warga emas ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Mas Merah, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata mayat rentung warga emas berusia sekitar 70an itu ditemui di bilik belakang tingkat bawah.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.59 pagi sebelum menggerakkan 13 pegawai dan anggota termasuk dari BBP Kemahang ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal dengan tingkat atas adalah berstruktur kayu.

“Difahamkan ketika kejadian, warga emas itu sedang tidur sebelum terperangkap dan rentung dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Mohd Zulkifli berkata mayat berkenaan diserahkan kepada polis, sebelum dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Katanya, kebakaran dapat dikawal jam 12.29 tengah hari.

“Kemusnahan adalah 70 peratus manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

BH ONLINE