Wanita didakwa di mahkamah benarkan anak usia 10 tahun memandu kereta

SEREMBAN — Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Trafik, di sini hari ini, atas pertuduhan membenarkan anak lelakinya yang berusia 10 tahun memandu sebuah kereta awal bulan lalu.

Pekerja pembersihan berusia 45 tahun itu didakwa sebagai pemilik sebuah Toyota Corolla, telah membenarkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun memandu kenderaan berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 9 malam di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, di sini, 3 September lalu.

Wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Dia yang tidak diwakili peguam dan dihadapkan di hadapan Majistret Marlissa Mohd Fahmy mengaku bersalah, namun merayu denda rendah kerana berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung tiga anak masih bersekolah serta suami yang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Tambahnya, perbuatan itu bukan hanya membahayakan diri kanak-kanak terbabit yang ketika kejadian, turut membawa seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun, selain merisikokan keselamatan orang awam.

Mahkamah kemudian mengenakan hukuman denda RM700 atau penjara tujuh hari jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan.

BH ONLINE