NIBONG TEBAL — Seorang bapa bersama anak lelakinya maut selepas cedera parah dalam kemalangan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Transkrian, di sini, tengah hari tadi.
Insiden kira-kira jam 1.30 tengah hari itu dikatakan berlaku ketika dua beranak itu yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.
Difahamkan, bapa berusia 49 tahun itu mengambil anak lelakinya berusia sembilan tahun dari sekolah sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki.
Kedua-dua beranak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.
Terdahulu tular beberapa keping gambar di media sosial memaparkan kemalangan berkenaan.
BH ONLINE