KUALA TERENGGANU — Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dalam proses membangunkan aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ bagi membantu rakyat negeri itu mencari pasangan.
Perkara itu dimaklumkan YPKT menerusi satu hantaran di platform Facebook mengenai pelaksanaan aplikasi berkenaan.
Menerusi hantaran itu, aplikasi jodoh berkenaan dikatakan sudah hampir siap sepenuhnya.
Aplikasi Jodoh Darul Iman dibangunkan oleh Top IT Industries Sdn Bhd dan direka khusus untuk membantu rakyat Terengganu mencari pasangan secara percuma.
“Pada 3 November lalu, satu taklimat mengenai pelaksanaan program aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ diadakan di Bilik Mesyuarat 2 di YPKT.
“Taklimat ini bertujuan untuk melihat perkembangan terkini aplikasi tersebut yang kini sudah mencapai tahap antara 97 hingga 98 peratus siap.
“Aplikasi ini direka khusus untuk memudahkan rakyat Terengganu dalam mencari jodoh secara percuma dan dalam taklimat terbabit, pelbagai penambahbaikan telah dibincangkan bagi memastikan aplikasi ini berfungsi dengan lebih baik dan memenuhi keperluan pengguna.
“Dengan pelaksanaan aplikasi ini, diharapkan dapat membantu masyarakat Terengganu dalam membina hubungan yang lebih baik dan mengukuhkan institusi keluarga di negeri ini,” kata YPKT menerusi hantaran itu.
Sementara itu, menerusi portal rasmi YPKT memaklumkan aplikasi itu diwujudkan untuk memberi peluang kepada golongan yang belum berkahwin untuk mendapatkan jodoh dengan mudah dan bersesuaian secara maya.
Terdapat beberapa syarat yang ditetapkan iaitu pemohon adalah rakyat Terengganu yang berumur 21 tahun dan ke atas dan pengguna yang mahu mencari jodoh mestilah individu yang belum berkahwin atau ibu/bapa tunggal yang berhasrat mencari jodoh.
Selain itu, bagi pengguna yang belum berkahwin, mereka hanya boleh menggunakan aplikasi itu untuk perkahwinan kali pertama sahaja dan bukan untuk tujuan berpoligami.
BH ONLINE