SUV dihanyut arus di ladang sawit, 3 pemancing maut

KOTA TINGGI — Tiga lelaki maut apabila perjalanan untuk memancing bertukar tragedi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki dihanyutkan arus deras di sebuah ladang sawit di Sedili, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berada dalam sebuah Toyota Land Cruiser yang terperangkap dan separuh tenggelam dalam lumpur berhampiran parit di ladang sawit terbabit.

Tiga mangsa yang maut itu dikenali sebagai Lee Fook Wan, 48; Lee Choy Yeow, 49 dan Leong Kon Fatt, 72.

Seorang rakan mereka, 40, cuba menggunakan Toyota Hilux untuk menarik kenderaan terbabit, namun SUV berkenaan tergelincir ke dalam parit dan tenggelam akibat arus banjir yang deras.

Pemandu Hilux bersama seorang lagi rakan berjaya memecahkan cermin tingkap SUV itu dan menarik salah seorang mangsa keluar.

Namun, mangsa terbabit tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Kota Tinggi.

Yusof berkata, usaha menyelamatkan dua lagi mangsa gagal, walaupun operasi mencari dan menyelamat membabitkan 42 anggota dari pelbagai agensi dijalankan.

Bagaimanapun, pada jam 11.07 malam, pihak penyelamat menemui mayat mangsa yang terperangkap di dalam Land Cruiser yang tenggelam.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.

Yusof bagaimanapun menegaskan kematian tiga mangsa itu bukanlah berkaitan banjir kilat, sebaliknya diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

BH ONLINE