Suspek tembak pekerja pembersihan selepas ditegur alihkan barang – Polis

KUALA LUMPUR – Suspek kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, malam tadi, dipercayai melepaskan tembakan berikutan berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletak di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ia berdasarkan hasil siasatan awal pihak polis.

Beliau berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu juga disyaki berada bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

“Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi, di Wisma Radio RTM di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily mengulas perkembangan siasatan kejadian tembakan di pusat beli-belah kira-kira jam 10.50 malam tadi yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut serta usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman, dan kes berkenaan diyakini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata suspek sedang diburu adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pula dipetik memaklumkan bahawa mangsa disahkan selamat tetapi cedera terkena beberapa das tembakan dilepaskan oleh suspek.

BH ONLINE-BERNAMA