GEORGETOWN – Lelaki yang ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas, di sini mempunyai 34 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan narkotik.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian jam 4.03 pagi itu, suspek berusia 35 tahun disahkan mati di lokasi.
Terdahulu, Hamzah berkata suspek yang memandu kereta jenis BMW dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika ditemukan pasukan polis semasa menjalankan tugas operasi cegah jenayah.
Katanya, ketika polis menghampiri dan memperkenalkan diri, suspek keluar daripada kereta sebelum melepas tembakan ke arah kenderaan polis.
“Pasukan polis turut melepas beberapa tembakan bagi mempertahankan diri.
“Hasil pemeriksaan lanjut, suspek disahkan mati di tempat kejadian,” katanya melalui kenyataan media.
Hamzah berkata, turut ditemukan di lokasi pistol jenis FNP-45 bersama tiga butir peluru, batang besi, kayu rotan, parang dan ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 22.5 gram.
“Polis turut menemukan alatan disyaki ‘jammer signal’ serta pelbagai jenis pakaian dan peralatan disyaki bagi tujuan kegiatan pecah rumah,” katanya.
Hamzah berkata, polis turut melakukan beberapa tangkapan berasingan membabitkan lapan individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terbabit aktiviti jenayah bersama suspek.
Katanya, empat daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
“Berikutan kumpulan ini tumpas, polis yakin berjaya menyelesaikan 25 kes berkaitan samun, pecah rumah dan pecah kedai dobi di Kontinjen Pulau Pinang dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM500,000.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun jika disabit kesalahan,” katanya.
BH ONLINE