Sindiket MBI: PDRM beku aset RM3.8 bilion

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini membekukan RM3.8 bilion aset skim penipuan pelaburan MBI International Group (MBI).

Terbaru, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menyita dan membekukan empat kapal layar dan tiga bot penumpang mewah bernilai RM36.3 juta, 477 hartanah (anggaran RM150 juta), empat kondominium (anggaran RM12 juta), 37 akaun bank (RM328,088,127.11).

Turut disita wang ringgit (RM283,070), tiga kenderaan mewah (RM637,100), dua jam tangan mewah (RM160,000) dan lima telefon bimbit serta beberapa dokumen dengan jumlah pembekuan dan penyitaan dianggarkan RM527,468,297.11.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata sitaan dan pembekuan itu hasil tangkapan tiga lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dalam operasi bermula 1 hingga 17 Mei itu.

Katanya, tangkapan terbaru dalam Op Northern Star itu, seramai tiga kenamaan bergelar Tan Sri ditahan.

“Dalam operasi ini, Pasukan AMLA Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman juga turut menyita lima buah perniagaan di bawah Seksyen 52(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613). Ia terdiri daripada syarikat pengurusan ladang durian, syarikat pemaju dan hotel.

“Jumlah keseluruhan penyitaan perniagaan adalah sebanyak lapan buah syarikat dan sehingga kini, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dianggarkan adalah sebanyak RM3,818,536,857.20,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Op Northern Star siri kedua dilancarkan pada 18 hingga 21 April lalu di sekitar Lembah Klang dan utara Semenanjung.

Menerusi operasi itu, lima individu ditahan termasuk seorang lagi bergelar Tan Sri serta seorang bergelar Datuk Seri, dipercayai terbabit dalam sindiket pelaburan ponzi di sebuah negara jiran.

Antara aset yang dibekukan dan disita hasil operasi ialah tiga dusun durian seluas 363 hektar di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM223.6 juta.

Aset terbabit dipercayai hasil perolehan haram membabitkan skim pelaburan berasaskan skim ponzi yang disasarkan kepada mangsa tempatan dan luar negara menerusi tawaran pulangan tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Muhammed Hasbullah berkata, ketiga-tiga individu itu ditahan di sekitar ibu negara dan Kuala Lumpur.

Katanya, kesemua mereka mempunyai syarikat perniagaan yang sah termasuklah syarikat dalam senaraian awam, namun dikesan terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang ini.

“Aset-aset yang dirampas ini kita lihat adalah bertujuan untuk kegunaan peribadi sahaja dan kemungkinan tidak digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Muhammed Hasbullah berkata polis ketika ini sedang melihat kemungkinan ada pembabitan individu-individu berprofil tinggi termasuk ahli politik.

“Pasukan AMLA akan sentiasa komited untuk terus menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang disyaki terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam menyimpan, memindah, menggunakan, atau membawa masuk dan keluar dari Malaysia wang hasil daripada aktiviti haram yang menyalahi undang-undang,” katanya.

BH ONLINE