Siasatan mengenai sijil halal tak wajar – Teresa Kok

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mempertahankan kenyataannya berhubung isu pensijilan halal untuk premis makanan dan menegaskan perkara itu disalah tafsir.

“Jika seseorang membaca dan menganalisis kenyataan saya secara menyeluruh dan dalam semua konteks, ia menjadi jelas dan tidak samar.

“Kenyataan terbabit tidak mengandungi konotasi atau rujukan kepada 3R (agama, bangsa, raja) atau apa-apa yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi New Straits Times.

Teresa berkata, tugasnya sebagai Ahli Parlimen adalah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat dan menangani isu yang dihadapi oleh mereka di peringkat akar umbi.

“Adalah malang dan membingungkan bahawa pihak berkuasa mengklasifikasikan kenyataan saya sebagai berpotensi melanggar undang-undang.

“Membuka siasatan berdasarkan klasifikasi ini adalah tidak perlu dan tidak wajar, kerana tiada jenayah dilakukan,” katanya.

Baru-baru ini, Teresa dalam satu kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, polis membuka kertas siasatan terhadap Teresa bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan itu.

Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

BH ONLINE