SANAA – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan empat lagi cedera pada malam Sabtu dalam serangan udara baru AS ke atas ibu kota Yaman, Sanaa, pinggirannya, dan wilayah lain, lapor TV al-Masirah kendalian Houthi, memetik pihak berkuasa kesihatan.
Menurut televisyen itu, tentera AS melancarkan 21 serangan udara ke atas Sanaa dan pinggir baratnya, membunuh dua orang dan mencederakan dua lagi di kawasan kejiranan Al-Nahda, utara Sanaa. Yang ketiga cedera di tanah perkuburan di kawasan kejiranan Safiah di selatan Sanaa.
Di daerah Bani Matar di pinggir barat Sanaa, serangan udara membunuh seorang dan mencederakan seorang lagi, kata televisyen Houthi
Laporan itu tidak menyatakan sama ada mangsa adalah orang awam atau anggota Houthi.
Serangan udara di ibu kota itu turut menyasarkan beberapa lokasi lain, termasuk depot senjata di kem tentera Al-Hafa di Gunung Nuqum di timur Sanaa, dan dua tapak tentera di timur laut Sanaa, menurut penduduk Sanaa.
Deruan jet pejuang yang meluncur laju pada pendikit penuh kedengaran di seluruh ibu kota sebelum dan selepas serangan melanda.
Ambulans kelihatan di jalan-jalan Sanaa bergegas ke lokasi sasaran ketika polis dikawal Houthi mengepung kawasan sasaran.
Sementara itu, jet pejuang AS melakukan 13 serangan udara terhadap Lapangan Terbang Hodeidah dikawal Houthi dan Pangkalan Tentera Laut di bandar pelabuhan Laut Merah Hodeidah, barat Yaman, menurut televisyen Houthi dan penduduk tempatan.
Empat serangan udara yang lain menyasarkan kedudukan Houthi di daerah Sirwah, barat wilayah Marib tengah Yaman. Empat lagi serangan udara menyasarkan kedudukan tentera Houthi di daerah Harf Sufian di wilayah utara Amran, kata televisyen itu.
Serangan udara baharu itu berlaku dua hari selepas serangan udara AS di pelabuhan minyak Ras Isa di wilayah barat Hodeidah, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang dan mencederakan 150 yang lain, menurut kenyataan terbaru pihak berkuasa kesihatan tempatan.
XINHUA