MOSCOW – Kementerian pertahanan Rusia berkata pada Khamis tenteranya menawan perkampungan Zhuravka di wilayah sempadan utara Ukraine di Sumy, walaupun pegawai Ukraine tidak memperakui ia telah diambil.
Moscow telah lama melancarkan serangan udara ke atas wilayah yang bertentangan dengan wilayah Kursk di Rusia, di mana ia cuba mengusir baki tentera Ukraine lapan bulan selepas mereka melancarkan pencerobohan rentas sempadan dan merampas sebahagian besar wilayah.
Pegawai Ukraine berkata terdapat aktiviti ketenteraan Rusia yang dipergiatkan di sebelah sempadan mereka, tetapi tidak memberi perakuan bahawa Zhuravka telah jatuh ke tangan Rusia.
Empat hari lalu, Moscow berkata tenteranya telah merampas sebuah lagi kampung di wilayah itu, Basivka, dakwaan yang dinafikan oleh pegawai Ukraine.
Laporan terbaru oleh kementerian pertahanan Rusia tidak membuat sebarang komen lanjut selain mengatakan tenteranya mengawal Zhuravka.
Agensi berita negara Rusia Tass memetik sumber keselamatan sebagai berkata kemaraan itu membawa tentera Rusia lebih dekat ke kawasan ketiga, Yunakivka, yang dikatakan berfungsi sebagai hab logistik yang memberi perkhidmatan kepada tentera Ukraine bertempur merentasi sempadan di Kursk.
Gabenor wilayah Sumy, Volodymyr Artiukh memberitahu pegawai pertahanan wilayah bahawa serangan Rusia di kawasan itu telah meningkat 30% sejak minggu lalu.
“Sejak tujuh hari lalu, Rusia telah melancarkan 47 operasi serangan ke atas kedudukan pertahanan kami,” kata Artiukh dalam akaun disiarkan di Facebook.
“Usaha utama musuh tertumpu di kawasan sekitar penempatan Zhuravka dan Vasivka.”
Artiukh berkata, tentera Rusia masih menyerang sasaran dan infrastruktur awam, dengan serangan terbaharu direkodkan di tapak industri makanan, seperti kilang pembungkus daging dan tenusu.
REUTERS