Rempuhan di masjid tengah Damsyik membunuh empat: pegawai kesihatan

Orang ramai berkumpul di luar Masjid Umayyah sambil menunggu maklumat terkini berikutan rempuhan yang berlaku semasa solat Jumaat di Damsyik, 10 Januari 2025. (AP)

DAMSYIK — Rempuhan di mercu tanda Masjid Umayyah di ibu negara Syria pada Jumaat mengorbankan empat orang, kata seorang pegawai kesihatan Damsyik kepada media kerajaan.

“Pengarah Kesihatan Damsyik Dr Mohammed Akram Maatouq mengumumkan jumlah korban terakhir akibat rempuhan malang yang berlaku hari ini di Masjid Agung Umayyah dan sekitarnya adalah empat maut dan 16 cedera,” kata kenyataan disiarkan oleh agensi berita negara SANA.

Terdahulu, Gabenor Damsyik Maher Marwan memberitahu SANA, rempuhan maut itu berlaku “semasa acara awam di masjid.”

Seorang jurugambar yang bekerjasama dengan AFP dan berada di lokasi rempuhan melihat orang ramai berkumpul berhampiran masjid kerana makanan percuma sedang diedarkan.

Ghina, yang berada di masjid untuk menunaikan solat Jumaat, berkata dia melihat “orang yang membawa seorang wanita tua dengan darah menitik dari mukanya,” sambil menambah bahawa dia kelihatan mati.

Akhbar Al-Watan berkata, rempuhan itu berlaku semasa pengagihan makanan percuma oleh seorang personaliti media sosial.

Seorang YouTuber bernama Chef Abu Omar, yang mempunyai sebuah restoran di Istanbul, sebelum ini menyiarkan video persiapan pengagihan makanan percuma di Masjid Ummayyah.

Menteri Luar Itali Antonio Tajani telah melawat masjid itu pada sebelah pagi.

AN-AFP/10 Jan, 2025