KUANTAN — Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 70.13 peratus setakat Julai lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerja pembinaan projek berkenaan mengikut jadual seperti yang dirancangkan.
Katanya, kerajaan yakin operasi ECRL dari Gombak ke Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan akan bermula awal 2027.
“Jadual operasi ECRL bermula pada Januari 2027 iaitu dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak yang dijangkasiap menjelang akhir 2026.
“Setahun kemudian landasan dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan disiapkan dan setakat ini perkembangan projek sebanyak 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan (K-ICe) 2024 sempena 50 tahun Pelabuhan Kuantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur penting kerana ia sampai ke pelabuhan utama untuk pengangkutan kargo.
“Pengangkutan kargo adalah komponen penting dalam ECRL kerana dengan adanya landasan dan infrastruktur, ia memberikan kelebihan kepada sektor perindustrian di Pantai Timur, khususnya di Pahang
“Pahang ada lima stesen kargo untuk memudahkan pergerakan kargo antara di kawasan perindustrian Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pelabuhan Kuantan berpotensi untuk dijadikan terminal untuk kapal persiaran berlabuh di pelabuhan berkenaan.
Katanya, dengan kehadiran kapal persiaran, ia akan menarik kedatangan pelancong ke Kuantan.
“Sebelum ini ada kapal persiaran berlabuh di sini tetapi tiada kemudahan yang terancang. Oleh itu, jika nak promosi pelancongan perlu ada kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
“Bagaimanapun, usaha ini bukan sahaja daripada Kementerian Pengangkutan dan Pelabuhan Kuantan, sebaliknya perlu kerjasama daripada kerajaan negeri terutama Tourism Pahang untuk promosi kepada syarikat kapal persiaran.
“Antaranya apa tarikan dan jadual apabila kapal persiaran berlabuh dalam tempoh 10 hingga 12 jam,” katanya.
BH ONLINE