KUCHING – Inisiatif pendidikan tinggi percuma yang ditawarkan Kerajaan Sarawak, mulai tahun depan, akan diperluaskan kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bawah fasa kedua program itu.
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Prof Dr Firdaus Abdullah, berkata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan itu, khususnya bagi penuntut UiTM Cawangan Sarawak, dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir.
“Perkara ini akan dilaksanakan pada fasa kedua, dengan pendidikan percuma diperluaskan kepada pelajar rakyat Sarawak di IPTA dalam negeri ini, terutama UiTM Cawangan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, di sini, hari ini.
Fasa pertama inisiatif pendidikan tinggi percuma itu membabitkan lima institusi, iaitu Kolej Universiti i-CATS (iCats), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Universiti Teknologi Sarawak, Curtin University Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak.
Sementara itu, Firdaus berkata, Abang Johari mencadangkan supaya UiTM Sarawak bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam sektor agrikultur dengan menjadikan UiTM Kampus Mukah hab projek penanaman padi, khususnya dalam penyelidikan dan pembangunan benih padi, produktiviti dan hasil padi.
“Kita akan meneliti cadangan itu dan menubuhkan satu pasukan penyelidikan untuk kajian serta mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak bagaimana kita dapat membantu dari segi teknologi, infrastruktur dan produktiviti penanaman padi di negeri ini.
“Ini juga termasuk penyimpanan karbon kerana penanaman padi ada kaitan dengan perkara itu,” katanya.
BH ONLINE