Pereka dalaman dibunuh kejam dengan 20 tikaman

KUALA LUMPUR – Seorang pereka dalaman ditemui mati dalam keadaan tragis dengan 20 kesan tikaman pada anggota badannya di sebuah apartmen di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata pihaknya menerima satu laporan berkait kejadian itu pada jam 1 pagi daripada orang awam yang juga jiran mangsa.

Beliau berkata, jiran itu menghubungi pihak polis selepas bimbang perkara buruk berlaku kepada mangsa selepas mendengar suara pergaduhan antara mangsa dan seorang individu, kira-kira jam 11 malam.

“Pengadu memaklumkan tidak melihat jirannya itu keluar dari rumah selepas pergaduhan dan bertindak menghubungi pihak polis.

“Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ke lokasi dan hasil pemeriksaan, menemui mangsa sudah meninggal dunia akibat ditikam dipercayai oleh individu yang belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.

“Hasil pemeriksaan awal, kita menganggarkan terdapat 20 kesan tikaman di beberapa anggota badan mangsa dengan lima kesan tikaman ditemui pada sebelah kiri rusuk yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

“Enam lagi tikaman ditemui pada bahagian kepala dan sembilan tikaman pada kedua-dua pergelangan tangan,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati, mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman separuh masa tinggal berseorangan di rumah itu yang baru dibelinya pada tahun lalu.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Shahrulnizam berkata, maklumat boleh disalurkan terus dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

BH ONLINE