Pengerusi pusat pengajian agama dituduh cabul guru praktikal

PORT DICKSON – Pengerusi sebuah pusat pengajian agama di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang guru praktikal di pusat berkenaan, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Hafidz Eshak, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dengan niat dan maksud melakukan suatu perbuatan mencabul kehormatan remaja berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 6.40 petang di tingkat satu pusat pengajian agama terbabit pada 18 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan wang jaminan sebanyak RM50,000 susulan kes membabitkan kepentingan awam serta mendapat liputan meluas.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan dan Nur Haifa Husna Zuhaimi memohon jaminan rendah berikutan tertuduh di dalam keadaan kesempitan kewangan.

Terdahulu, Hanif turut membetulkan fakta, anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes akan ditetapkan pada 17 Oktober ini.

BH ONLINE