Pemilik akaun TikTok kata Rosmah ada ilmu hitam diarah bayar ganti rugi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi akan menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh seorang pemilik akaun TikTok kepada Datin Seri Rosmah Mansor kerana didapati bertanggungjawab memfitnah isteri bekas perdana menteri itu mengamalkan ilmu hitam, pada 8 Julai ini.

Ia berikutan Rosmah berjaya memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang dinamakan selaku defendan pada 28 Mei tahun lalu.

Defendan ketika itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

Tarikh keputusan ganti rugi itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh semasa pendengaran untuk taksiran ganti rugi secara sidang video menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Rosmah memberitahu media hari ini pendengaran untuk taksiran ganti rugi telah ditetapkan hari ini dan pihaknya telah memfailkan hujahan bagi tujuan pendengaran.

“Ketika pendengaran, mahkamah telah membangkitkan persoalan undang-undang di mana seorang lagi peguam plaintif, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff telah memohon satu tarikh singkat untuk memfailkan hujahan ringkas bagi menjawab persoalan undang-undang yang dibangkitkan.

“Hujahan perlu difailkan dalam masa dua minggu dan keputusan taksiran ganti rugi ditetapkan pada 8 Julai 2025,” katanya ketika dihubungi BH.

Rosmah, yang memfailkan saman itu pada 19 September 2023, mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadapnya pada 22 Mac 2023.

Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti membabitkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri Perdana Menteri Malaysia keenam dan penaung badan-badan amal di negara ini yang dikenali umum.

Katanya, akibat kenyataan fitnah itu, beliau dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekali gus mencemarkan reputasinya selaku figura yang dikenali oleh masyarakat umum.

Sehubungan itu, Rosmah menuntut antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

BH ONLINE