Pelajar maut terjatuh dari tingkat empat sekolah

SEREMBAN — Pelajar lelaki sebuah sekolah menengah swasta di Lobak, di sini, maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah berkenaan, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disahkan pihak sekolah yang memaklumkan kejadian berlaku sebaik remaja berusia 16 tahun itu tiba di sekolah, namun punca kejadian masih dalam siasatan polis.

Pihak pengurusan sekolah dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka sempat memanggil ambulans ke lokasi kejadian, namun remaja itu disahkan sudah meninggal dunia.

“Dengan berat hati saya ingin melaporkan kepada semua bahawa kira-kira jam 6 pagi tadi, seorang pelajar di sekolah kami meninggal dunia selepas tiba di sekolah.

“Selepas kejadian itu, pihak sekolah segera menghubungi ambulans. Malangnya, kakitangan perubatan memutuskan bahawa pelajar itu sudah meninggal dunia,” katanya kenyataan dalam Bahasa Mandarin itu.

Menurut kenyataan itu juga, pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan, malah akan memberi kaunseling psikologi secara berterusan kepada pelajar untuk membantu emosi mereka.

Pihak pengurusan sekolah turut berdukacita dan memohon maaf atas kejadian berlaku serta mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten, Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan kejadian dan sedang menunggu laporan bedah siasat.

Beliau berkata, remaja berusia 16 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 7.45 pagi oleh pegawai perubatan.

“Kita menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.11 pagi. Siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah terbabit.

“Pelajar tersebut juga mengalami beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala, bahu kanan dan muka. Punca kematian adalah disebabkan jatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini beberapa saksi terdiri daripada pelajar dan guru telah dipanggil untuk dirakamkan percakapan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 atau Ketua Polis Balai Campbell di talian 012-7707282 untuk membantu siasatan.

BH ONLINE