Pekerja katering nafi liwat, amang seksual 4 remaja lelaki bawah umur

BUTTERWORTH — Seorang pekerja katering dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat remaja lelaki antara Mac 2023 dan Mei tahun ini.

Tertuduh Muhammad Haikal Hazwan Che Man, 24, yang masih bujang mengaku tidak bersalah dan mohon semua kesnya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Kesalahan liwat didakwa dilakukan dalam sebuah bilik di Apartmen Permata di Bandar Perda, Bukit Mertajam, jam 3 petang pada Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual di bilik apartmen sama antara Mac 2023 dan Mei tahun ini.

Pendakwaan bagi semua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Wan Amira tidak menawarkan jaminan berikutan kesalahan serius yang dilakukan apatah lagi semua mangsa bawah umur.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) meminta supaya mahkamah dapat memberikan jaminan paling minimum kerana tertuduh yang bekerja sebagai pekerja katering hanya berpendapatan RM1,200 selain perlu menanggung keluarga.

Hakim Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta meminta tertuduh supaya tidak mendekati serta mengganggu mangsa dan pengadu sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 25 November depan untuk laporan perubatan dan laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Bukit Mertajam tertuduh juga didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan beberapa keping gambar lucah dalam telefon bimbit jenis iPhone 11 Pro miliknya.

BH ONLINE