Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang cecah 11.63m, lepasi tahap bahaya

KOTA BHARU — Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang di sini, semakin meningkat kepada 11.63 meter (m) sehingga jam 2 petang tadi, iaitu melebihi paras bahaya 9m.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang kini mencecah 13,539 mangsa yang berada di 44 PPS.

Paras air Sungai Golok itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan banjir bah kuning pada 2014 yang hanya merekodkan bacaan 10.84m.

Sehingga petang ini, sejumlah 10 sungai di Kelantan termasuk Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya.

Sungai terbabit termasuklah Sungai Melor di Jambatan Melor, Sungai Lanas di Air Lanas, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lebir di Kampung Tualang.

Selain itu, Sungai Semerak di Pasir Puteh, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Kuala Jambu, Sungai Kelantan di Temangan dan Kusial Baru.

Dua sungai melepasi paras amaran dan enam sungai melepasi paras berjaga-jaga.

BH ONLINE