PASIR SALAK — Mayat anggota polis yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di tali air di Changkat Lada, Kampung Gajah, di sini, semalam, ditemukan pagi ini.
Koperal Muhammad Taufik Sayuti, 39, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum ini dikatakan keletihan dan cuba ke tebing, bagaimanapun dihanyutkan arus deras.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata mayat mangsa dijumpai di sekitar kawasan tebing kira-kira tiga meter dari pusat kawalan bomba (PKB) pada 4.55 pagi tadi.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Semalam, Sabarodzi dilaporkan berkata seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan BBP Teluk Intan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.47 petang.
Difahamkan, kejadian itu terjadi selepas mangsa menghadiri majlis pertemuan ‘reunion’ bersama rakan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.
BH ONLINE