Lelaki Australia ditahan atas kematian 98 kanggaru

SYDNEY – Seorang lelaki Australia ditangkap dan didakwa atas kesalahan kekejaman haiwan selepas 98 kanggaru ditemui mati di utara Sydney.

Polis menemui kanggaru mati di tanah milik kerajaan persekutuan di bandar Singleton, kira-kira 140 km ke utara Sydney di negeri pantai timur New South Wales (NSW), bersama peluru dan dua kartrij pada 8 Okt.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Isnin, Polis NSW berkata seorang lelaki berusia 43 tahun telah didakwa dengan enam jenayah berhubung kejadian itu berikutan siasatan.

Lelaki itu ditahan semasa serbuan di sebuah hartanah di Williamtown, hampir 70 km ke timur Singleton, pada Jumaat.

Semasa melaksanakan waran geledah, Polis NSW berkata pegawai menemui dan merampas tiga senjata api. Sejumlah senjata api turut dirampas daripada hartanah kedua di kawasan itu.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan kejam yang teruk ke atas haiwan, mencederakan haiwan dilindungi, menceroboh tanah Komanwel dan kesalahan senjata api.

Kanggaru ialah haiwan asli yang dilindungi di setiap negeri dan wilayah Australia.

Sesiapa didapati bersalah mencederakan haiwan yang dilindungi di NSW berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun bagi setiap kesalahan.

XINHUA