KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023 selepas penjualan beli saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata saham MAHB dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, sekali gus menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.
Beliau berkata, prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi terbabit.
“Tuduhan KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas, dan ini jelas ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Februari lalu.
“Berdasarkan kenyataan ini, jelas bahawa KWSP mencatat keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.
“Ia berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan shariah,” katanya pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai jumlah keuntungan atau kerugian dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.
Amir Hamzah berkata, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB mencapai RM650 juta sejak 2014.
Beliau menegaskan, pengisytiharan dividen KWSP adalah mengikut prestasi sebenar pelaburan dibuat agensi itu, berdasarkan Seksyen 27 Akta KWSP 1991 (Akta 452).
“Dalam erti kata lain, kadar dividen hanya berdasarkan pendapatan yang direalisasikan menerusi penjualan sesuatu pelaburan bagi tahun terbabit.
“Pada 2023, prestasi saham MAHB mengatasi prestasi FBMKLCI sebanyak 11.47 peratus, sekali gus menyediakan peluang bagi KWSP merekodkan keuntungan daripada penjualan pegangan sahamnya dalam MAHB.
“Keuntungan ini secara langsung menyumbang kepada jumlah pendapatan pelaburan bersih RM63.48 bilion yang direkodkan bagi 2023,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Ekuiti Awam KWSP mula menjual pegangannya dalam MAHB bermula Januari 2023 yang mana ketika itu KWSP memiliki 15.5 peratus pegangan saham dalam MAHB.
Katanya, ia untuk merealisasikan peluang keuntungan tercipta daripada harga pasaran saham MAHB, yang ketika itu mengatasi prestasi indeks komposit FBMKLCI.
Amir Hamzah berkata, penilaian dan perbincangan bagi tawaran am sukarela (VGO) hanya bermula pada Julai 2023 manakala pengurus dana di Jabatan Ekuiti Awam KWSP tidak mempunyai maklumat atau akses kepada maklumat berhubung tawaran ke atas MAHB ini.
Katanya, tawaran sukarela oleh konsortium dianggotai KWSP untuk mengambil alih semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 setiap saham adalah pelaburan baharu jangka panjang KWSP.
“Mengapa KWSP sanggup membeli saham MAHB pada harga ini? Pembabitan KWSP pada kali ini mengambil kira aspek penciptaan nilai tambah yang lebih strategik dan strategi baharu.
“Ia juga mengambil kira pelaksanaan pelan pemulihan dan penambahbaikan MAHB yang akan memastikan ia berada di landasan tepat untuk disenaraikan semula pada harga lebih tinggi,” katanya.
“Ini hanya boleh dikecapi melalui transformasi operasi MAHB,” katanya.
Amir Hamzah berkata, sejurus penyahsenaraian ini selesai, konsortium akan memberi sepenuh perhatian untuk meningkatkan infrastruktur, ketersambungan serta pengalaman penumpang.
Secara kasarnya, tegasnya, perkara itu seperti tidak berperanan penting kepada pemulihan MAHB tetapi sebenarnya, perubahan berkenaan menjadi asas kepada transformasi strategik MAHB.
“Dalam meningkatkan pelaburan dan menambah baik pengalaman penumpang rakyat dan pelancong, usaha tidak hanya tertumpu kepada lapangan terbang antarabangsa utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
“Sebaliknya, penambahbaikan akan juga dilaksanakan di lapangan terbang lain antaranya di Tawau, Kota Bharu dan Ipoh,” katanya.
BH ONLINE