KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Jabatan Imigresen ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa menjalani pemeriksaan di pintu masuk negara.
Pegawai yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata penahanan itu dibuat pasukan Unit Integriti jabatan susulan maklumat dan pemantauan dijalankan sebelum itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas pegawai terbabit menemukan sembilan pasport Pakistan dan dua pasport Sri Lanka yang disimpan dalam baju sejuk dipakainya.
“Pegawai itu kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sama ada di pintu masuk negara atau pejabat imigresen seluruh negara sehingga mencemarkan nama baik serta imej pasukan.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk dibuang kerja jika terbukti bersalah.
“Kita serius dan komited memastikan integriti pegawai sentiasa berada pada tahap maksimum,” katanya.
BH ONLINE