Kes Zayn Rayyan: Hakim, pendakwa, peguam bela tinjau lokasi kejadian

KUALA LUMPUR – Hakim dan semua pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes pengabaian anak yang dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, hari ini melawat lokasi kejadian kanak-kanak autistik itu ditemukan mati di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh, tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10 pagi diiringi beberapa kenderaan polis serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Turut serta dalam lawatan itu ialah pihak pendakwa raya serta peguam, Haresh Mahadevan, yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf.

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke kawasan blok R apartmen itu dan hanya dibenarkan merakam gambar serta mengambil video di kawasan sekitar yang tidak berdekatan dengan lokasi kejadian.

Pada prosiding perbicaraan sebelum ini, Hakim Syahliza menetapkan hari ini untuk pihak terlibat dalam kes itu termasuk saksi pendakwaan melawat lokasi kejadian bagi membuat pengecaman.

Hal ini selepas pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan persekitaran apartmen itu bagi membolehkan saksi pendakwaan yang telah memberikan keterangan mengenal pasti tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

BH ONLINE – BERNAMA