Kematian doktor pakar Hospital Lahad Datu: Adik dakwa kakaknya bunuh diri

KUALA LUMPUR – Seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Mendedahkan perkara itu, adik mangsa, yang dikenali sebagai YS Tay mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasannya selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Tay dalam perkongsian melalui akaun Facebooknya berkata, kakaknya yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Unit Patologi Kimia di Jabatan Patologi juga terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan.

“Cukup tidak bertanggungjawab ketua jabatan. Dia juga merupakan seorang pakar perubatan yang baharu dilantik, namun menyalahgunakan kuasanya dan menindas orang bawahan.

“Saya tertanya-tanya kenapa dengan sifat Dr Tay Tien Yaa yang tidak pernah mengadu akan berlaku tragedi? Dalam tempoh enam bulan berkhidmat, pihak hospital menghubungi keluarga untuk menyampaikan berita mengejutkan,” katanya.

Dr Tien Yaa menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2023 sebelum melapor diri di Hospital Lahad Datu pada Februari 2024.

Beliau berkahwin pada September 2023 dan sepanjang berkhidmat, dia berusaha meningkatkan perkhidmatan perubatan di hospital itu termasuk berjaya memperoleh sumbangan sebuah komputer melalui Persatuan Perdagangan Cina Lahad Datu.

Pada masa sama YS Tay berkata, pihaknya mendakwa fenomena tekanan di tempat kerja dan buli dalam kalangan doktor baharu sangat berleluasa.

“Namun keadaan ini tidak sepatutnya dianggap normal…lebih-lebih lagi tiada siapa yang mengambil berat mengenai punca sebenar mengapa Dr Tien Yaa membunuh diri.

“Hanya segelintir doktor muda yang sebaya dan rakan terdekatnya menzahirkan kesedihan mereka di media sosial, namun suara mereka tenggelam dan tidak mendapat perhatian daripada pihak atasan,” katanya.

YS Tay turut mempersoalkan sama ada wujudnya pihak yang akan memperjuangkan keadilan untuk doktor muda yang terus menerus ditekan di tempat kerja sehingga terkorban.

Sebelum ini, BH melaporkan, beberapa doktor di hospital kerajaan di Sabah mengalami gejala buli secara lisan dan fizikal apabila dihambur perkataan kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang gejala buli dalam kalangan pengamal perubatan, terutama membabitkan doktor.

BH ONLINE