Israel luluskan perjanjian gencatan senjata bagi tebusan Gaza

JERUSALEM – Kerajaan Israel pada Sabtu meluluskan perjanjian gencatan senjata bertujuan membebaskan tebusan ditahan di Semenanjung Gaza, berikutan mesyuarat kabinet yang panjang, kata Pejabat Perdana Menteri.

Pada mesyuarat itu, 24 menteri mengundi menyokong dan lapan menentang. Perjanjian itu dijangka berkuat kuasa pada Ahad, katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada mesyuarat itu bahawa dia telah diberi jaminan oleh Presiden AS Donald Trump bahawa Israel akan menerima bekalan senjata yang dihentikan sebaik sahaja dia memegang jawatan, lapor Channel 12 News.

“Ini penting kerana jika kami tidak mencapai fasa kedua perjanjian itu, kami akan mempunyai alat tambahan untuk kembali berperang,” kata Netanyahu. “Trump memberi Israel sokongan penuh untuk kembali berperang sekiranya berlaku pelanggaran perjanjian.”

Mesyuarat penuh kabinet itu diadakan selepas kabinet keselamatan terhad Israel mengundi menyokong perjanjian gencatan senjata untuk tebusan Gaza pada Jumaat.

Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich, dua menteri sayap kanan, menentang perjanjian itu dan menuntut komitmen kerajaan untuk meneruskan pertempuran di Gaza sebaik sahaja fasa pertama perjanjian itu, di mana Hamas akan membebaskan 33 tebusan Israel, selesai.

Pertikaian telah diselesaikan, kata Hamas pada Jumaat, sehari selepas kumpulan itu mengesahkan komitmennya terhadap syarat penuh perjanjian itu dalam satu kenyataan.

XINHUA