India, Pakistan serang satu sama lain dengan dron, peluru berpandu

NEW DELHI, 10 Mei – Tentera India dan Pakistan pada Sabtu menyasarkan satu sama lain dengan dron dan peluru berpandu ketika keadaan semakin meruncing antara kedua-dua negara berjiran itu.

Kerajaan India, pada taklimat medianya, menyalahkan Pakistan kerana “provokasi berterusan” di sepanjang sempadan barat India dan di Garis Kawalan (LoC) di Kashmir, dengan menggunakan kenderaan udara tempur tanpa pemandu, senjata jarak jauh, peluru berlegar dan jet pejuang untuk menyasarkan kawasan awam dan infrastruktur ketenteraan.

“Tentera Pakistan juga melakukan pencerobohan udara menggunakan dron dan menembak senjata berkaliber berat di sepanjang LoC. Di sepanjang sempadan antarabangsa dan LoC, pencerobohan udara dan beberapa serangan gangguan juga telah dicuba dari Srinagar hingga Naliya di lebih 26 lokasi,” kata Komander Sayap Vyomika Singh kepada media semasa taklimat itu.

“Terdapat juga beberapa serangan peluru berpandu berkelajuan tinggi yang disedari selepas jam 0140 (waktu tempatan) pada waktu malam di beberapa pangkalan udara di Punjab,” kata komander itu.

Singh, mengakui bahawa tentera India melakukan serangan udara berketepatan ke atas pangkalan Tentera Udara Pakistan.

Laporan mengatakan serpihan peluru berpandu, dron dan amunisi lain ditemui dari beberapa kawasan di Rajasthan, Punjab, Gujarat dan Kashmir yang dikawal oleh India.

Penduduk di Srinagar dan Jammu di Kashmir yang dikuasai India berkata mereka mendengar letupan kuat pada waktu malam dan awal pagi Sabtu. Laporan yang sama mencurah-curah dari Punjab, Rajasthan dan Gujerat.

Pihak berkuasa menguatkuasakan pemadaman letrik malam Jumaat merentasi beberapa bandar berdekatan kawasan sempadan berikutan serangan udara yang dijangkakan. Terdapat gangguan bekalan elektrik sepanjang malam.

Sebuah akhbar tempatan, The Tribune, pada Sabtu berkata seorang pegawai kanan kerajaan tempatan dan seorang kanak-kanak adalah antara lima yang terbunuh dalam tembakan semalaman.

Kematian baharu itu menjadikan angka kematian orang awam kepada 22, selain lebih 50 lagi cedera di Kashmir yang dikuasai India. Banyak juga rumah yang rosak.

Kebuntuan tentera antara New Delhi dan Islamabad meletus berikutan serangan udara maut India ke atas sasaran di Pakistan dan Kashmir yang dikuasai Pakistan pada Rabu.

India berkata, serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan 26 orang oleh lelaki bersenjata bulan lalu di Kashmir yang dikuasai India.

New Delhi menyalahkan Islamabad kerana menyokong lelaki bersenjata di sebalik serangan itu, satu pertuduhan dinafikan oleh Islamabad.

XINHUA