NEW DELHI – India berkata ia mengharamkan import barangan berasal dari atau transit melalui Pakistan ketika ketegangan diplomatik antara dua negara bersenjata nuklear itu memuncak susulan serangan maut ke atas pelancong di wilayah Kashmir dipertikaikan.
Direktorat Jeneral Perdagangan Luar India dalam satu pemberitahuan berkata larangan itu akan berkuat kuasa serta-merta.
“Sekatan ini dikenakan demi kepentingan keselamatan negara dan dasar awam,” katanya.
Militan disyaki membunuh sekurang-kurangnya 26 pelancong dalam serangan minggu lalu ke atas destinasi pergunungan di kawasan Pahalgam di lembah Kashmir.
Wilayah Himalaya itu yang majoriti penduduknya beragama Islam dituntut oleh India dan Pakistan, dan telah menjadi lokasi pelbagai peperangan, pemberontakan dan kebuntuan diplomatik.
India telah menuduh Pakistan terlibat dalam serangan itu, yang dinafikan Islamabad. Pakistan berkata ia mempunyai “perisikan yang boleh dipercayai” bahawa India berhasrat untuk melancarkan tindakan ketenteraan.
Pakistan juga mengumumkan langkah balas yang termasuk menghentikan semua perdagangan sempadan, menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan India dan mengusir diplomat India.
Ia juga memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk menghalang aliran air sungai yang dijanjikan di bawah perjanjian berpuluh tahun antara kedua-dua negara akan dianggap sebagai tindakan perang.
Perdagangan antara kedua-dua negara telah berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
REUTERS