Hayya 2023 bersama cinta

Menjengah tahun baru 2023, masyarakat dunia dihidangkan dengan pelbagai berita yang mencuri perhatian umum – ada yang menceriakan dan tidak kurang mengecewakan.

Di sesetengah penjuru dunia, mereka bersorak atau sekurang-kurangnya menghela nafas lega kerana dapat menyambut sekali gus memasuki tahun baru.

Tidak pasti sama ada mereka ceria bersama azam untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik, menggilap potensi diri agar lebih berguna dan cemerlang ataupun berharap mendapatkan kehidupan lebih harmoni.

Yang pasti di sebalik keceriaan itu, ada yang ‘gigit jari’ – berasa kesal, kecewa dan tidak kurang diselubungi rasa pilu, kerana kejadian tidak diingini berlaku.

Di Ukraine misalnya, serangan tahun baharu Moscow yang menyasarkan fasiliti penghasilan dron di negara itu menyebabkan tiga maut manakala puluhan lagi cedera, sebagaimana dilaporkan Berita Harian yang memetik daripada AFP.

Moscow mendakwa serangan pada malam tahun baharu itu yang menggunakan peluru berpandu dan dron buatan Iran berjaya mematahkan ‘serangan pejuang’ Kyiv terhadap Russia.

Serangan itu berlaku ketika pencerobohan di Ukraine memasuki bulan ke-11.

Kumpulan Daesh pula mengaku bertanggungjawab ke atas serangan militan di pusat pemeriksaan polis di bandar Terusan Suez Mesir, Ismailia yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang.

Kumpulan itu mendakwa serangan terbabit dalam satu kenyataan lewat Sabtu yang disiarkan oleh agensi berita Amaq, demikian menurut laporan Arab News.

Lagenda bola sepak dunia, Pele menghembuskan nafas terakhir pada Khamis, dua hari sebelum 2022 melabuhkan tirainya, sekali gus memasuki 2023. Dia meninggal di hospital Sao Paulo pada usia 82 tahun selepas bertarung dengan kanser kolon.

Pele satu nama tidak asing bagi masyarakat dunia malah apabila ada pemain kelihatan hebat di padang diberikan perumpamaan ‘hebat macam Pele’.

Di sebalik itu satu cerita yang kurang diketahui sebagaimana dilaporkan media beberapa hari lalu ialah dia adalah individu yang berjaya menghentikan Perang Biafra.

Ia berlaku pada 4 Februari 1969 apabila Pele berjaya meraih genjatan senjata seketika dalam Perang Saudara Nigeria yang dikenali juga sebagai Perang Biafra – berlangsung dari 5 Julai 1967 hingga 13 Januari 1970, meragut hampir sejuta nyawa.

Mengikut laporan, di tengah-tengah peperangan itu, kelab gergasi bola sepak Brazil, Santos mendarat di Benin City untuk menentang Central West State.

“Lampu di tengah kota tidak dinyalakan pada sebelah malam,” kata bekas pemain Santos, Edu kepada akhbar harian Brazil, Folha.

“Hanya hotel dan rumah kediaman menyalakan lampu masing-masing. Saya masih ingat bertanya kepada pengurus kenapa dan beliau memberitahu saya ia untuk mengelak serangan bom musuh.”

Bekas rakan sepasukan Pele, Ramos Delgado mengimbau bagaimana peperangan itu dihentikan bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan.

“Kuasa Pele amat menakjubkan,” kata Delgado.

“Saya masih ingat apabila kami pergi ke Nigeria dan negara itu sedang berperang, mereka menghentikan peperangan itu selama sehari, jadi Santos boleh turun beraksi.”

Majalah Amerika Syarikat, Time melaporkan pada 2005, kerajaan Nigeria dan Republik Biafra bersetuju dengan gencatan senjatan selama tiga hari.

“Diplomat dan utusan gagal selama dua tahun untuk menghentikan pertempuran dalam perang saudara paling berdarah di Afrika ketika itu, namun ketibaan lagenda bola sepak Brazil, Pele pada 1969 mencetus gencatan senjata selama tiga hari,” demikian menurut artikel Time.

Dua tahun lalu, Pele membuat ciapan di Twitter dan melabelkan gencatan senjata sewaktu Perang Saudara Nigeria sebagai salah satu “kebanggaan terbesarnya”.

“Saya belajar ketika zaman kanak-kanak, menerusi bapa saya Dondinho bahawa bola sepak adalah instrumen untuk kebaikan,” ciap Pele.

“Beliau memberitahu saya pengajaran itu apabila melihat saya menggelecek lawan yang lebih lemah tanpa belas kasihan dan meminta saya untuk sentiasa menghormati lawan.

“Saya menyematnya dalam hati, sentiasa menggunakan bakat saya demi cinta dan keamanan.

“Saya sentiasa cuba menghantar mesej ini sebagai pemain bola sepak dan sebagai seorang lelaki.

“Salah satu kebanggaan terbesar saya adalah dapat menghentikan perang di Negeria pada tahun 1969 dalam satu daripada banyak lawatan bola sepak yang dilakukan Santos ke seluruh dunia.

“Kami diminta untuk bermain perlawanan persahabatan di Benin City, di tengah-tengah perang saudara, tetapi Santos sangat disayangi hingga mereka bersetuju untuk melakukan gencatan senjata pada hari perlawanan. Ia dikenali sebagai hari Santos menghentikan perang,” ciapnya.

Dia sudah pergi dan yang pergi tetap pergi, mengikut giliran, tidak kira usia, pangkat dan kedudukan, namun namanya punya bisa tersendiri, kekal terpahat dalam hati masyarakat dunia.

Jika dia yang dengan sumbangan dan jasa cukup menebal tetapi tetap ‘humble’ dan peramah, mengapa tidak kita juga menjadi insan yang merendah diri.

Dia menyematnya dalam hati untuk sentiasa menggunakan bakat demi cinta dan keamanan, mengapa tidak kita juga menggunakan bakat, kebolehan dan kepandaian ataupun jawatan, kuasa dan kekuatan demi cinta dan keamanan!

Mengapa harus menggunakan kekerasan – memukul, menendang dan menampar yang lain, ataupun membedil dan mengebomkan yang lain?

Mengapa kita memperdayakan sesama insan, eksploitasi, manipulasi demi keuntungan peribadi yang berpaksikan nafsu menggila?

Mengapa kita menyekat hak dan kebebasan manusia lain terutama wanita – mengapa disekat hak mereka untuk belajar, hak untuk ke sekolah, ke universiti, hak untuk menjalani kehidupan seperti insan lain?

Mengapa kanak-kanak diabaikan, diperlakukan seperti orang dewasa – dibebankan mereka sebagai buruh bahkan didera tanpa kasihan belas?

Sikap kita menyebabkan mereka teraniaya, hidup dalam kelaparan, menahan kering tekak kerana terlalu dahaga, kesejukan, tertekan atau terseksa bahkan pergi tak kembali dengan perasaan sungguh membungkam jiwa.

Dengan sikap kita yang berterusan begitu boleh jadi menghasilkan suatu tindak balas di luar jangka sekali gus mengubah dan mewujudkan geopolitik lebih tidak keruan. Di mana cinta kita, rasa bertanggungjawab sebagai populasi yang cintakan keamanan di dunia ini?

Masuklah 2023 dengan cinta, bukan dengan kebencian dan air mata. Kecapilah kedamaian dalam suasana kebersamaan, mengukir senyuman tulen – sebagaimana manis di bibir, manis juga sehingga ke benak sanubari.

Dongaklah ke langit 2023 dengan tekad dan keinginan yang tulus murni, mudah-mudahan diri kita, kehidupan kita, menjadi lebih berguna dan bermakna – berasa gembira seperti detik bunga-bunga cinta menyapa kelopak mata, menerpa pipi kita. Hayya 2023!