ISTANBUL – Hampir 600 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak bulan lalu, kata agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin.
Memetik angka dikeluarkan oleh agensi kanak-kanak PBB (UNICEF), UNRWA berkata lebih 1,600 kanak-kanak lain turut cedera sejak Israel meneruskan serangannya pada 18 Mac.
“Krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza kini berkemungkinan berada pada tahap paling teruk sejak Oktober 2023,” tambahnya.
Tentera Israel meneruskan serangan mautnya di Semenanjung Gaza pada 18 Mac dan sejak itu telah membunuh 1,864 orang dan mencederakan hampir 4,900 yang lain walaupun perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan berlaku pada Januari.
Lebih 51,200 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza dalam serangan kejam Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana perangnya terhadap kawasan itu.
ANADOLU, 21.4.2025