PASIR MAS – Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menikam anak lelakinya berusia 11 tahun di Kampung Banggol Che Dol, di sini, pada 2 Mei lalu.
Tertuduh yang berusia 47 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat membunuh telah menikam anak kandungnya itu menggunakan sebilah pisau sehingga mengakibatkan kecederaan.
Perbuatan dilakukan jam 8.55 pagi di sebuah rumah di Kampung Banggol Che Dol di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’iah Harizan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’iah memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia di Perak untuk mendapatkan maklumat berkaitan status mental yang dialami tertuduh.
Hakim kemudiannya mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia dan menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera dipercayai ditikam bapa kandungnya sebanyak dua kali di bahagian dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur.
Suspek dilaporkan mempunyai masalah mental dan sudah menerima rawatan psikiatrik sejak 2008 sehingga kini.
Punca kejadian dipercayai daripada krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya untuk kali ketiga yang mana dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei nanti.
BH ONLINE