Dua lelaki Nepal maut dalam nahas tiga kenderaan

BERA – Dua lelaki warga Nepal yang menaiki motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Bera-Mayam pada jam 8.43 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kedua-duanya mati di lokasi akibat kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan lain.

“Siasatan awal mendapati, sebuah pikap dan kereta Proton Satria Neo dalam perjalanan dari arah Mayam ke Bera sebelum terbabit dengan motosikal jenis Demak Spark 110 yang ditunggang kedua-dua mangsa keluar dari simpang sebelah kiri jalan.

“Motosikal itu mulanya bergesel dengan pikap terbabit sebelum dilanggar kereta yang mengekori di belakang,” katanya.

Zulkiflee berkata, punca kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang keluar dari persimpangan tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang bergerak terus.

“Kedua-dua pemandu kenderaan yang terbabit dalam nahas itu tidak mengalami kecederaan. Mayat mangsa dihantar bedah siasat di Hospital Bera, punca nahas sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

BH ONLINE