Dua beradik maut motosikal rempuh tong sampah roro tepi jalan

MELAKA — Remaja lelaki serta adiknya berusia lima tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas motosikal mereka tunggangi merempuh tong sampah roro di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, mangsa sedang dalam perjalanan untuk menziarahi kubur arwah bapa di Bertam Hulu sebelum makan malam bersama keluarga.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata mangsa Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan adik perempuannya, Nur Afiqah Sofea Hazlin berusia lima tahun, meninggal dunia semasa dirawat di zon merah Hospital Melaka akibat kecederaan dialami.

Ketika kejadian Muhammad Amirul menunggang motosikal Demak DV110 dan dibonceng adiknya dari arah Ayer Keroh menghala Sungai Udang.

“Siasatan awal mendapati sebaik sampai di lokasi kemalangan penunggang dipercayai tidak perasan sebuah kontena roro berada di bahu jalan lalu melanggarnya.

“Akibat pelanggaran itu penunggang dan pembonceng cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, pihaknya kemudian menerima laporan daripada doktor bertugas bahawa kedua-dua penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia semasa dirawat, masing-masing pada jam 7.40 malam dan 12.30 tengah malam.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengesan pemilik roro dan saksi kejadian.

BH ONLINE