SEPANG — Lapan belas suspek dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan di sini bulan lalu yang membabitkan pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin bernilai AS$1.16 juta atau RM5.4 juta.
Polis masih memburu empat daripada mereka selepas menahan 10 yang lain yang ketika ini dalam reman, manakala empat lagi berjaya ditembak mati di Skudai, Johor awal bulan ini susulan kejadian penculikan di susur keluar selepas Plaza Tol Mex menghala Cyberjaya, 11 Julai lalu itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Datuk Hussein Omar Khan, berkata tiga suspek yang diburu itu membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita, manakala suspek utama adalah pemandu kepada warga China yang diculik itu.
“Motif utama kes ini bagi mendapatkan wang dan semua suspek ada rekod jenayah,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk S Sasikala Devi dan Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, di sini hari ini.
Katanya, polis melakukan beberapa serbuan dan merampas barangan dibeli menggunakan wang tebusan, antaranya enam jam tangan mewah, enam beg tangan berjenama, enam telefon bimbit, seutas rantai emas berserta loket.
Turut dirampas, wang tunai RM1.65 juta, satu resit pembelian emas dan masing-masing sebuah Toyota Vellfire, Mini Cooper, Toyota Camry, Honda City, Mitsubshi Triton serta dua Toyota Alphard.
“Kesemua suspek dalam kes ini mempunyai tanggungjawab masing-masing seperti dalang utama, menjaga mangsa ketika ditahan dan menukar wang tebusan daripada Bitcoin kepada ringgit. Polis percaya hampir menyelesaikan kes penculikan ini,” katanya.
Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan empat penjenayah yang disyaki terbabit kes penculikan, terbunuh selepas berbalas tembak dengan polis dalam dua kejadian berasingan di Skudai, Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit kes penculikan dua individu membabitkan pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin bernilai AS$1.16 juta atau RM5.4 juta.
Dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki lelaki warga China yang baru tiba di Malaysia dan seorang wanita tempatan dipintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat lelaki di susur keluar selepas Plaza Tol MEX menghala Cyberjaya.
Kedua-dua mangsa dibebaskan pada jam 6.30 petang 15 Julai lalu di tepi jalan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan selepas adik kepada warga China berkenaan membayar wang tebusan kepada suspek.
Siasatan dan risikan polis berjaya mengenal pasti suspek sebelum operasi membabitkan pasukan dari Bukit Aman dan beberapa kontinjen dilaksanakan.
Hasilnya, pada jam 11.25 malam 1 Ogos lalu, polis mengesan seorang suspek sedang memandu kereta di kawasan Jalan Skudai-Gelang Patah, Johor, dalam keadaan mencurigakan.
Sebaik menyedari diekori polis, suspek bertindak memecut kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis. Anggota polis yang membalas tembakan berjaya menembak mati suspek berusia 51 tahun itu.
Pemeriksaan terhadap kereta yang digunakan menemui sepucuk pistol milik suspek yang didapati mempunyai enam rekod jenayah atas kesalahan dadah selain pernah dikenakan perintah tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah.
Siasatan lanjut membawa kepada satu lagi serbuan ke sebuah rumah di Taman Impian Emas, Skudai pada jam 12.05 tengah malam hari sama. Sepasukan polis bertindak memasuki kediaman itu sebelum beberapa das tembakan dilepaskan dari dalam rumah ke arah mereka.
Berlaku berbalas tembakan dan susulan itu, tiga lelaki berusia 35, 39 dan 45 tahun meninggal di tempat kejadian. Pemeriksaan polis di rumah itu menemukan sebilah parang dan dua pucuk pistol.
Seterusnya, empat lagi serbuan dibuat di lokasi berasingan di Johor dan berjaya menahan lima suspek warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun, termasuk seorang wanita. Semakan mendapati dua daripada suspek lelaki mempunyai rekod jenayah.
Polis turut merampas tiga pucuk Revolver dan sebilah parang panjang dalam serbuan berkenaan.
BH ONLINE