KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff membayar ganti rugi RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah dalam laman sosial Facebook, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Hannah terhadap Dr Kamarul Zaman selain mendapati Menteri Belia dan Sukan itu berjaya membuktikan kesnya.
Bagaimanapun semasa prosiding, Dr Kamarul Zaman tidak hadir ke mahkamah.
Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.
“Sebagai seorang pensyarah dan seorang Muslim, saya mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu memandangkan saya bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian dan sebagai seorang penganalisis politik, saya mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu politik di Malaysia.
Sementara itu, Hannah dalam keterangannya semasa perbicaraan memberitahu bahawa bukunya bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ diulang cetak sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Hannah berkata, buku itu adalah autobiografi mengenai kehidupannya termasuk pengalaman peribadi dan pembabitan dalam politik.
“Tiada bukti bahawa mana-mana orang Islam terpesong akidah dengan membaca buku berkenaan dan perkara itu disahkan oleh pemimpin Islam di negara ini,” katanya.
Justeru beliau juga menegaskan, hantaran-hantaran Facebook Kamarul Zaman antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 jelas berniat untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnahnya.
BH ONLINE