CHUKAI — Satu lagi mayat kejadian bot karam dekat Kuala Kemaman ditemukan terapung petang tadi.
Mayat lelaki dikenali sebagai Shahril Ismail, 50, ditemukan kira-kira jam 1 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata mayat kedua tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian jam 2.45 petang tadi.
Beliau berkata, sebelum ini mayat pertama dikenali sebagai sebagai Siti Zaimah, 29 ditemukan jam 7 pagi bersama lima yang terselamat dalam kejadian itu.
“Kita masih mengesan dua lagi mangsa dikenali sebagai Aina Husna Mohamad Husani, 25, dan Yusof, 66, dalam operasi yang disertai pelbagai agensi.
“Mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses pengecaman.
“Saya pun sudah berhubung dengan pihak kesihatan dan cuba berusaha untuk menjalankan bedah siasat petang ini,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditemukan lemas, manakala tiga lagi dikhuatiri hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka dilanggar tongkang.
BH ONLINE