Black Metal, Ilmu Makrifat, Millah Abraham antara difatwakan sesat di Sabah

KENINGAU — Sebanyak 16 kumpulan dan fahaman diwartakan sebagai ajaran sesat di Sabah, termasuk Millah Abraham, Ilmu Makrifat, Hizbut Tahrir, Islam Jama’ah, Black Metal dan syiah.

EXCO Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata senarai kumpulan dan fahaman terbabit dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, selain empat buku.

Buku itu adalah Islam Hadhari Menurut Pandangan Ustaz Haji Ashaari Muhammad, Membela Sunnah Nabawiyyah hasil tulisan Abd Wahab Bustami, Awaluddin Makrifatullah ditulis Haji Muhammad Seman Al-Banjari dan buku-buku Mohd Hairi Nonchi.

“Selain itu, kita juga memantau ajaran sesat Millah Abraham. Pemantauan penguatkuasaan turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Minggu Perpustakaan peringkat negeri, di sini hari ini.

Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, memaklumkan terdapat pengikut ajaran Millah Abraham yang didakwa di Sabah tahun lalu.

“Bagaimanapun, semua yang didakwa bukan berasal dari Sabah. Mereka dijatuhkan hukuman dan sebab itulah dari semasa ke semasa kita sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan gerakan ini tidak berkembang di Sabah,” katanya.

BH ONLINE