KUALA LUMPUR — Polis meminta orang ramai berhati-hati dengan tawaran penjualan tanah lot ditawarkan seorang wanita dikenali sebagai Siti Aisyah Nasib Ghazali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sebanyak 15 laporan diterima sejak 2016 berkenaan kegiatan didalangi wanita itu yang membabitkan kerugian mencecah RM547,650.
Katanya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menandatangani perjanjian jual beli dengan pemilik tanah kononnya untuk membeli tanah terbabit.
“Pada masa yang sama, suspek akan mengiklankan penjualan tanah tersebut secara pecahan lot.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek akan menunjukkan dokumen pembelian tanah itu ataupun mendakwa dia telah memperoleh kuasa mentadbir (power attorney) daripada pemilik asal tanah.
“Percaya dengan dakwaan yang dibuat suspek, semua mangsa akan membuat bayaran bagi membeli lot tanah yang ditawarkan,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.
Ramli berkata sebanyak enam kawasan di sekitar Selangor digunakan oleh suspek dalam tawaran penjualan lot tanah yang dilakukannya.
“Empat akaun bank telah dikenalpasti digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa.
“Tiga daripada akaun didaftarkan atas nama individu termasuk dua daripadanya adalah milik suspek sendiri. Satu lagi akaun didaftarkan atas nama syarikat suspek iaitu Izz Ikhwan Legacy Sdn Bhd,” katanya.
Ramli berkata suspek sebelum ini sudah dituduh bersabit empat kes penipuan penjualan tanah lot dan perbicaraan bagi empat kes itu masih berjalan di mahkamah.
“Terbaharu, pada 12 Ogos lalu, suspek ditahan di Gombak, Selangor bersabit satu lagi kes penipuan lot tanah.
“Suspek disyaki menipu seorang pesara berusia 59 tahun dalam urusan penjualan sebidang tanah lot sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM60,400,” katanya.
Ramli berkata mangsa membuat laporan polis pada 4 Ogos lalu dan memaklumkan pada 5 November 2021, dia menandatangani satu perjanjian jual beli dengan pemilik-pemilik berdaftar tanah berdasarkan surat kuasa yang diberikan kepada suspek.
“Mangsa telah diyakinkan bahawa suspek telah membeli keseluruhan tanah tersebut yang berkeluasan 1.62 hektar.
“Mangsa juga dimaklumkan bahawa suspek sedang dalam proses permohonan untuk memecahkan tanah tersebut kepada 92 lot individu,” katanya.
Ramli berkata biarpun bayaran sudah dibuat kepada suspek, tiada sebarang pembangunan dibuat terhadap tanah tersebut dan pecahan lot juga tidak dilakukan.
“Mangsa juga turut berjumpa dengan salah seorang pemilik asal tanah yang kemudiannya memaklumkan tidak menerima sebarang pembayaran dari suspek bagi tujuan pembelian tanah terbabit.
“Sehingga kini hak milik tanah tersebut masih kekal atas nama pemilik asal,” katanya yang memaklumkan suspek kini direman tiga hari sehingga 14 Ogos ini.
Ramli berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mungkin menjadi mangsa penipuan suspek tampil dan membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran.
BH ONLINE