Imigresen Melaka selamatkan 36 warga Bangladesh `dikurung’ 15 hari

MELAKA — Jabatan Imigresen Melaka menyelamatkan 36 warga Bangladesh yang ‘dikurung’ tanpa diberi sebarang pekerjaan oleh majikan sejak 15 hari lalu di sebuah rumah penampungan di daerah Melaka Tengah, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata lebih mengejutkan pemeriksaan mendapati semua mereka terpaksa tinggal berhimpit di dalam premis sempit dan kotor.

Menurutnya, operasi penguat kuasaan itu dijalankan bermula kira-kira 10.30 pagi semalam hingga jam 2 pagi tadi oleh 17 pegawai penguat kuasa hasil maklumat awam.

Katanya, operasi bertujuan mengesan dan membanteras kebanjiran warga asing khususnya pendatang tanpa izin (PATI) dan mengesan mana-mana individu yang cuba melindungi dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada mereka.

“Ketika serbuan di tempat penampungan pekerja warga asing itu, semua 36 warga Bangladesh sedang nyenyak tidur dan tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Semua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah apabila diminta dan ditahan atas kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Hasil pemeriksaan kita juga dapati pihak majikan gagal menyediakan kelengkapan asas tempat tinggal dan keadaan tempat terlalu sempit dan kotor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anirwan Fauzee berkata hasil soal tanya seorang daripada warga asing itu memberitahu mereka tinggal di lokasi selama 15 hari dan tidak diberikan sebarang pekerjaan majikan.

“Jadi kita turut keluarkan dua saman saksi kepada wakil majikan untuk membantu siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut Anirwarn Fauzee berkata, sepanjang operasi beberapa lokasi lain yang disyaki menjadi penempatan warga asing sekitar Melaka Tengah, Jasin dan Alor gajah turut diperiksa.

Katanya, ia meliputi kawasan pembinaan, pusat mencuci kenderaan dan beberapa rumah yang diduduki oleh warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

“Keseluruhannya kita memeriksa seramai 85 warga asing serta warganegara Malaysia dalam operasi ini manakala 60 warga asing berusia 25 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada enam warga Indonesia, Pakistan (empat), Nepal (dua), Myanmar (enam) dan 42 Bangladesh (termasuk 36 di rumah penampungan).

“Kesalahan dilakukan termasuk tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini selepas pas tamat dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) / Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

BH ONLINE