KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan anaknya, Clint Lim Way Chau mengaku tidak pernah membuat laporan polis atau aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai dakwaan oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang menyatakan mereka berdua ditahan di Singapura kerana membawa masuk wang tunai RM2 juta pada 29 Februari 2020 tanpa sebarang deklarasi.
Guan Eng dan Clint membuat pengakuan tersebut di Mahkamah Tinggi disini hari ini ketika menjawab soal balas oleh peguam Logan Iskandar Abdullah yang mewakili Wan Muhammad Azri.
Clint memberitahu mahkamah dia tidak membuat sebarang laporan polis atau aduan kepada SKMM kerana ketika itu dia berada di Singapura dan menyerahkan perkara itu kepada bapanya, Guan Eng.
Ketika ditanya samada laman Facebook yang didakwa memfitnah mereka ada tertera nama Papagomo, Clint mengaku laman media sosial yang dirujuk tidak tertulis nama Papagomo.
Clint juga bersetuju laman media sosial itu dinyatakan sebagai Official FanPage Papa Azri.
Ditanya samada dia ada menerima laporan dari SKMM mengenai siapa pengendali laman media sosial itu, Clint berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada bapanya, Guan Eng dan beliau tidak pernah mendapat laporan berkenaan.
Logan berkata dalam kenyataan saksinya, Clint mengakui Guan Eng berada di Malaysia pada hari Wan Muhammad Azri mendakwa bapanya berada di Singapura untuk membantunya mengenai kes itu.
Ketika ditanya samada Clint mempunyai bukti dokumentasi mengenai keberadaan bapanya pada tarikh tersebut, Clint berkata dia tidak ada sebarang bukti dokumentasi sebaliknya, ketika itu kerajaan Malaysia melalui krisis politik dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu berada di Kuala Lumpur.
Clint juga mengakui dia tidak berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada hari Wan Muhammad Azri mendakwa dia ditahan kerana membawa masuk wang tunai RM2 juta ke Singapura.
“Saya memasuki Singapura selepas sambutan Tahun Baru Cina sekitar 20 Februari 2020. Pada hari kejadian yang didakwa berlaku, seingat saya ialah pada hari Sabtu. Saya tidak bekerja hari itu, saya berada di rumah dan keluar bersama dua rakan saya termasuk teman wanita saya yang kini isteri saya, Tan Eileen,” katanya.
Perbicaraan dihadapan Hakim Eddie Yeo Soon Chye akan bersambung esok dengan dua saksi wartawan akan dipanggil.
Guan Eng dan Clint yang diwakili peguam Simon Murali hadir pada bicara kes saman fitnah mereka terhadap Wan Muhammad Azri.
Mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada Azri, yang sebelum ini menafikan dia penulis blog dengan nama Papagomo.
Guan Eng mendakwa Wan Muhammad Azri membuat kenyataan fitnah dengan mendakwa Clint ditahan di Singapura dengan wang tunai RM2 juta dan beliau terpaksa ke Singapura untuk selamatkan anaknya itu.
BH ONLINE