KUALA LUMPUR — Polis menahan 10 individu disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan menyamar sebagai firma ekuiti antarabangsa ‘Warburg Pincus’ mengakibatkan kerugian RM21.9 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata semua suspek ditahan dalam serbuan berasingan pada 30 dan 31 Julai lalu.
Katanya, tangkapan termasuk lima wanita berusia 21 hingga 52 tahun itu dbuat dalam serbuan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.
“Semua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat serta perniagaan dan pengarah syarikat yang digunakan untuk kegiatan penipuan oleh sindiket terbabit.
“Sindiket ini menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu ‘Warburg Pincus’ bagi meyakinkan mangsa bahawa pelaburan dijalankan adalah sah,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.
Ramli berkata berdasarkan siasatan, sindiket ini disyaki memulakan operasi sekitar awal tahun ini dan beroperasi sepenuhnya secara dalam talian.
“Sindiket ini menggunakan laman media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp untuk berkomunikasi dengan mangsa.
“Iklan promosi pelaburan dibuat dengan mengaplikasikan sistem algoritma Facebook bagi menjamin hasil yang optimum,” katanya.
Ramli berkata sindiket ini menawarkan pulangan setinggi 11 hingga 15 peratus sebulan bagi menarik perhatian orang ramai.
Katanya, sindiket juga didapati menawarkan khidmat ‘cikgu trading’ untuk membimbing pelabur-pelabur bagi menjana pendapatan maksimum.
“Untuk menyertai pelaburan, mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi palsu yang dihantar melalui pautan WhatsApp.
“Mangsa kemudian akan diarahkan mendepositkan wang ke akaun keldai atas nama syarikat dan perniagaan sebelum boleh memulakan pelaburan.
“Bagaimanapun, mereka menyedari menjadi mangsa penipuan selepas tidak mendapat membuat sebarang pengeluaran daripada keuntungan pelaburan,” katanya.
Ramli berkata setakat ini polis sudah membuka 44 kertas siasatan terhadap sindiket ini membabitkan nilai kerugian mencecah RM21.9 juta.
“Sebanyak 20 akaun bank milik pelbagai perniagaan dan syarikat dikenalpasti disalahgunakan sebagai akaun keldai untuk menerima wang daripada mangsa terlibat.
“Kita turut membuat sitaan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 terhadap 35 bank akaun dengan nilai keseluruhan RM162,598.53 ,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
BH ONLINE