44 rumah musnah dijilat api, lebih 150 penghuni hilang tempat berteduh

KINABATANGAN – Lebih 150 penduduk hilang tempat tinggal selepas 44 rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pinangah, Tongod, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, sebahagian besar penghuni terbabit tinggal sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga, berikutan api marak dengan cepat serta kedudukan rumah yang rapat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Nurul Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 7.24 malam.

Susulan itu, katanya, sepasukan 13 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 174 kilometer.

Berdasarkan laporan setakat ini, beliau berkata, kebakaran itu membabitkan 44 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal.

“Selain itu, sebuah kenderaan juga terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memaklumkan, api berjaya dikawal pada jam 2.30 pagi tadi tetapi pasukan bomba masih meneruskan kerja-kerja pemadaman sepenuhnya.

Setakat ini, katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

BH ONLINE