Dipeluk, ditarik masuk dalam semak ketika joging

MELAKA – Seorang gadis yang sedang berjoging dan bersenam di Taman Rekreasi Bukit Serindit, di sini malam tadi dicabul seorang lelaki yang memeluk dan menariknya ke dalam semak.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 20 tahun dikatakan sedang berjoging bersendirian sebelum dia didatangi suspek berusia 27 tahun yang secara rakus mencabul kehormatannya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata susulan kejadian itu sepasukan anggota dari Balai Polis Banda Hilir menjalankan operasi memburu suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira jam 12.05 tengah malam tadi di sekitar lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, Dzulkhairi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar serta tidak bersendirian bagi mengelakkan daripada kes seumpama itu berlaku.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, memuat naik status di laman Facebook mengenai kejadian yang dianggap sebagai jijik dan sangat memalukan itu.

Beliau yang juga Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan mangsa yang sedang berjoging di taman rekreasi itu dipeluk dari belakang, ditekup mulut dan cuba ditarik ke dalam semak.

Katanya, orang ramai yang ternampak kejadian itu turut membantu wanita berkenaan.

“Saya sudah menghubungi Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara seperti ini dan saya memberi jaminan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi anggota penguat kuasanya akan mempertingkatkan rondaan di kawasan ini.

“Golongan `joggers’ juga diminta lebih berhati-hati (ketika bersenam atau beriadah di lokasi itu),” katanya.

BH ONLINE