2 terbunuh motosikal bertembung di FELDA Sahabat

LAHAD DATU – Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di Jalan FELDA Sahabat 40, dekat sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata mangsa berusia 17 dan 43 tahun yang masing-masing dikenalpasti warga Filipina dan Indonesia itu disahkan mati ditempat kejadian akibat parah.

Katanya, kejadian kira-kira jam 6.15 petang ketika lelaki berusia 43 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah FELDA Sahabat 30 menuju ke Kembara Sakti.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah lagi motosikal ditunggang seorang remaja dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal lelaki berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang terbabit parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jimmy berkata mayat kedua-dua mangsa terbabit dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses bedah siasat.

Katanya, sampel darah kedua-dua mangsa juga sudah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

BH ONLINE