Pemandu Singapura mabuk, dipenjara dua hari, denda RM12,000

JOHOR BAHRU – Lelaki warga Singapura dipenjara dua hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol, awal bulan ini.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu terhadap Sim Kok Siong Daniel, 46, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah turut memerintahkan pemandu e-hailing di Singapura itu dipenjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok Siong didakwa memandu sebuah kereta dengan kandungan alkohol 165 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan iaitu 50 mg dalam 100 ml darah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini, kira-kira jam 10 malam, 5 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM30,000, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Kok Siong yang tidak diwakili peguam itu meminta maaf dan mengaku telah insaf akan perbuatannya serta berjanji tidak mengulanginya lagi.

“Saya bekerja sebagai pemandu Grab di Singapura dengan pendapatan 5,000 dolar sebulan. Saya juga menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar.

“Saya tidak mampu membayar denda yang tinggi atau dipenjarakan kerana saya merupakan satu-satunya pencari rezeki dalam keluarga,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu selain melucutkan hak tertuduh untuk memiliki lesen memandu tempatan selama dua tahun bermula tarikh sabitan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh.

BH ONLINE