Pendakwa pinda tuduhan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemui meninggal dunia dua tahun lalu.

Dalam prosiding hari ini, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu ketika perbicaraan hari ke-13 di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

“Kami minta bicara,” kata kedua-duanya.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan perkataan ‘kawasan Blok R, Apartment Idaman’ dan ‘kawasan sungai berdekatan’.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, ketika mengemukakan pertuduhan pindaan, berkata beliau memohon pertuduhan baharu itu dibacakan dan diterangkan semula kepada kedua-dua tertuduh.

“Sebelum perbicaraan bermula, pihak pendakwaan ingin membuat permohonan kepada mahkamah untuk meminda pertuduhan kepada pertuduhan pindaan, satu salinan sudah diserahkan kepada peguam.

“Mohon pertuduhan pindaan ini dibacakan dan diterangkan semula kepada kedua-dua tertuduh selaras dengan peruntukkan Seksyen 158 dan 173 (i) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar kawasan Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama, Petaling, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setakat hari ini, pendakwaan sudah memanggil 23 saksi dalam perbicaraan yang sudah berlangsung selama 13 hari bermula 4 Februari lalu.

BH ONLINE