Dua anggota polis positif dadah dibebaskan dengan jaminan

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang ditahan selepas didapati positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini, Sabtu lalu dibebaskan dengan jaminan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata anggota polis lelaki dan wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman sehari terhadap mereka tamat.

“Anggota polis lelaki positif dadah methamphetamine, amphetamine, ketamin dan benzo, manakala anggota wanita positif dadah benzo.

“Siasatan mendapati bekalan dadah diambil dari luar premis hiburan berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Polis Kontinjen Kuala Lumpur memaklumkan, dua anggota polis itu adalah antara 55 individu termasuk empat warga asing yang dicekup dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Serbuan yang bermula pada jam 4 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat dengan pemeriksaan mendapati anggota polis lelaki dan wanita berkenaan positif dadah Eramin 5 dan ketamin.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad dilaporkan berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati 49 individu membabitkan 25 lelaki dan 17 wanita positif dadah, termasuk penjawat awam itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta Hiburan 1992, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1953.

BH ONLINE